Dituduh Perempuan Paling Jahat Dalam Dunia | Nama Countess Elizabeth Bathory tidak asing lagi bagi mereka yang pernah membaca tentang kisah jenayahnya yang mengerikan. Malah, nama Bathory juga dicatat dalam Guiness Book of Records sebagai perempuan paling jahat dalam dunia dengan dakwaan menyeksa serta membunuh seramai 80 hingga 650 orang gadis muda yang bekerja untuknya sepanjang tahun 1585 sehingga 1610. Bathory dijatuhkan hukuman penjara selama-lamanya di dalam istananya sendiri dan dia akhirnya mati 4 tahun kemudian. Kisah kekejaman Bathory menjadi sebahagian daripada lagenda negara Slovakia dan sehingga kini dia kerap ditonjolkan sebagai syaitan bertopengkan manusia dalam pelbagai bentuk karya sama ada novel, filem dan pementasan. Adakalanya Bathory disamakan dengan watak fiksyen Dracula, si penghisap darah manusia, kerana terdapat dakwaan yang mengatakan semasa dia masih hidup Bathory bermandikan darah mangsa-mangsanya untuk kekal awet muda. Namun begitu setelah ratusan tahun berlalu, para sejarahwan mula mempertikaikan kesahihan dakwaan-dakwaan yang dilemparkan terhadap Bathory. Semakin lama semakin banyak artikel ditulis tentang kemungkinan Bathory bukan pembunuh bersiri yang kejam, tetapi sebaliknya mangsa fitnah politik pada zaman itu.
![]()
Siapa Countess Elizabeth Bathory?
Elizabeth Bathory (1560 – 1614) merupakan seorang wanita berketurunan bangsawan yang lahir dalam keluarga Bathory di Hungary. Keluarga Bathory terdiri daripada ahli yang kaya-raya dan mempunyai pertalian dengan Raja Lithuania dan Earl of Transylvania. Bathory merupakan seorang yang terpelajar serta mahir bertutur dalam 3 bahasa dan kepintarannya melangkaui golongan lelaki bangsawan di zamannya. Bathory dibesarkan di Istana Ecsed di Hungary sehingga dia dikahwinkan dengan Ferenc Nadasdy, seorang bangsawan lain, pada usia 15 tahun. Nadasdy berusia 44 tahun. Perkahwinan dirancang keluarga antara golongan bangsawan demi tujuan politik merupakan perkara biasa. Nadasdy memberikan Istana Csejte kepada Bathory sebagai hadiah hantaran perkahwinan.
Tiga tahun selepas perkahwinan mereka, Nadasdy dilantik sebagai komander tentera Hungary dan dia ditugaskan untuk menentang tentera Empayar Uthmaniyyah dalam peperangan. Nadasdy menyerahkan segala hak dan urusan pentadbiran harta, serta pengurusan perniagaan keluarga mereka, kepada Bathory sebelum dia meninggalkan istana untuk berangkat ke medan perang. Nadasdy terkorban pada tahun 1604 berikutan kecederaan yang dialaminya semasa berperang. Bathory menjalankan tanggungjawab menjaga amanat mendiang suaminya selama bertahun-tahun sehingga timbul desas-desus mengatakan bahawa dia melakukan pembunuhan bersiri terhadap anak-anak gadis penduduk kampung di sekitar kawasan istana.
![]() |
Portret Countess Elizabeth Bathory |
'Perempuan Jahat' Yang Mengerikan
Hanya kira-kira seratus tahun selepas kematian Bathory kisahnya sebagai pembunuh bersiri paling kejam menular berikutan penerbitan buku berjudul '
Tragica Historia' (Sejarah Tragis) oleh Laszlo Turoczi, seorang pendita agama, pada tahun 1729. Menurut Turoczi, Bathory memerangkap mangsa-mangsanya dengan menculik atau menawarkan mereka kerja di istana sebelum memukul, membakar, mengelar, mengerat, menggigit dan membiarkan mangsa di luar dalam keadaan kesejukan dan kelaparan sehingga mati. Dia dikatakan akan mengarah orang-orang gaji mengumpul darah mangsa di dalam baldi untuk dijadikan air mandian. Kononnya Bathory mengamalkan mandi darah gadis perawan sebagai cara untuk mengekalkan kecantikannya.
Semenjak menularnya kisah yang diceritakan dalam buku tersebut, orang ramai mula menganggap Bathory sebenarnya pontianak yang menghisap darah manusia. Andaian tersebut diperkukuhkan lagi dengan keterangan oleh 300 orang saksi semasa perbicaraan kes Bathory yang mengakui bahawa Bathory telah menyeksa dan membunuh ratusan orang gadis di istananya. Salah seorang saksi mengatakan bahawa Bathory juga menyimpan sebuah diari yang mengandungi senarai 650 nama mangsa yang diseksa dan dibunuh, namun tiada siapa yang tahu di mana buku diari tersebut berada.
![]() |
Gambaran Bathory mandi dalam darah gadis perawan. |
Dipenjarakan Tanpa Perbicaraan
Sebelum menemui ajal di medan perang, Nadasdy pernah menyerahkan kepercayaan kepada rakan baiknya, Gyorgy Thurzo, untuk memelihara kebajikan Bathory sekiranya dia terkorban dalam peperangan. Thurzo memegang jawatan sebagai salah seorang pegawai penting (lebih kurang seperti Temenggung atau Ketua Polis Negara) dalam Istana Kerajaan Hungary pada masa itu yang diperintah oleh Raja Matthias. Apabila Bathory disabitkan kesalahan menyeksa dan membunuh rakyat, Thurzo merupakan orang di sebalik penyiasatan kes. Dia juga merupakan pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan waran tangkap terhadap Bathory. Demi menjaga maruah keluarga Bathory daripada menjadi isu skandal awam, dan untuk mengelakkan harta Bathory jatuh ke tangan kerajaan, Thurzo merayu kepada Raja Matthias agar tidak mengenakan perbicaraan ke atas Bathory. Sebaliknya hanya orang-orang suruhan Bathory yang bersubahat dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati. Manakala Bathory pula dipenjarakan dalam Istana Csejte berdasarkan bukti yang dikumpul melalui "perbicaraan" tersebut. Bathory dikurung dalam sebuah bilik yang kecil dan gelap tanpa tingkap, hanya ada lubang sempit untuk dia bernafas dan menerima makanan disediakan. Bathory akhirnya mati di dalam bilik tersebut pada usia 29 tahun.
Bathory Dalam FilemDalam filem
Bathory (2008) arahan Juraj Jakubisko, Thurzo digambarkan sebagai pembelot yang ingin merampas harta kekayaan Bathory. Namun kerjanya tidak mudah kerana Bathory merupakan seorang wanita yang sangat pintar. Thurzo ingin mengusir Bathory sehingga dia terdesak membuat fitnah dan menggunakan kuasa politiknya untuk menahan Bathory. Namun pada masa yang sama Thurzo tidak ingin harta milik Bathory jatuh ke tangan Raja Matthias kerana sesiapa yang dibicarakan dan dihukum oleh mahkamah akan dirampas hartanya oleh kerajaan. Thurzo memujuk menantu-menantu lelaki Bathory agar membahagikan harta supaya tidak diserahkan kepada pihak kerajaan. Di dalam filem tersebut, Bathory membunuh diri agar anak lelakinya dapat mewarisi hartanya dan sekaligus menghalang niat jahat Thurzo.
![]() |
Tinggalan Istana Csejte yang terletak di Slovakia di mana Bathory dipenjarakan sehingga mati |
Mengundang Spekulasi
Terdapat banyak percanggahan fakta dalam dakwaan yang dilemparkan terhadap Bathory kerana tiada bukti sahih menyokong kewujudan mayat mangsa yang dibunuh serta buku diari yang dikatakan mengandungi senarai nama mangsa. Walaupun memang terdapat banyak kes penculikan dan kehilangan anak gadis penduduk kampung di kawasan tersebut, namun tiada bukti kukuh yang mengaitkan mereka dengan Bathory. Malah, tiada seorang pun daripada "mangsa seksaan" Bathory yang dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah!
Bukti saksi dalam kes Bathory juga banyak yang mengelirukan. Jumlah sebenar mangsa berubah-ubah daripada angka 80 sehingga 650. Thurzo mendakwa dia menghadapkan 300 orang saksi untuk memberikan keterangan, tetapi rekod perbicaraan mahkamah mengatakan ada 13 orang saksi sahaja yang majoritinya terdiri daripada orang-orang suruhan Bathory. Ada keterangan saksi yang sukar dipercayai kerana Bathory dituduh "mengamalkan ilmu sihir" dan "dilihat bersekongkol dengan syaitan". Melalui sistem
inquisitorial (dianggap bersalah sebelum dibuktikan tidak bersalah), kesemua orang-orang suruhan ini dipaksa memberi keterangan melalui seksaan sebelum dijatuhkan hukuman mati. Disebabkan Bathory tidak dihadapkan ke mahkamah, tiada laporan rasmi dibuat ke atas kesnya.
Pada masa yang sama Raja Matthias terlibat dalam skandal kewangan kerana mempunyai hutang yang amat besar dengan keluarga Bathory. Keluarga Bathory merupakan keluarga bangsawan yang paling berpengaruh di dalam negara tersebut kerana kekayaan mereka, malah nilai harta mereka jauh melebihi nilai harta dimiliki kerajaan Hungary. Terdapat spekulasi bahawa Raja Matthias mengambil peluang ke atas fitnah yang dilemparkan terhadap Bathory untuk menyingkirkan wanita itu agar dia tidak perlu melangsaikan hutang-hutangnya.
Kebetulan pula Laszlo Turoczi yang menulis buku '
Tragica Historia' seratus tahun selepas kematian Bathory adalah pengikut Kristian mazhab Katolik, dan sejarah Slovakia menceritakan bahawa keluarga Bathory merupakan pengikut mazhab Protestan. Ada kemungkinan tuduhan Bathory mengamalkan sihir berpunca daripada konflik keagamaan yang berlaku di antara keluarga Bathory dan kerajaan Hungary yang rata-ratanya menganut mazhab Katolik.
![]() |
Lukisan yang membayangkan keadaan mangsa-mangsa diseksa oleh Bathory. Persepsi orang ramai terhadap Bathory sebagai wanita kejam sangat kuat sehingga ratusan tahun. |
Raksasa Mistik Atau Mangsa Politik?
Walaupun dibesarkan di dalam keluarga bangsawan yang paling berpengaruh, Bathory bukanlah seorang wanita yang disukai ramai. Dia digambarkan oleh orang-orang dalam istana sebagai wanita yang kejam kerana sikapnya yang cepat marah dan bertindak kasar terhadap orang-orang gaji sekiranya mereka cuai dalam pekerjaan. Ada yang menceritakan Bathory akan melempang orang gaji yang tidak memuaskan hatinya, dan dari sini muncul lagenda dia bermandikan darah gadis muda apabila kononnya darah salah seorang orang gaji yang dilempang terkena pada tangannya. Jadi tidak hairanlah sekiranya ramai mempercayai tuduhan terhadap Bathory atas kesalahan menyeksa dan membunuh.
Benarkah Bathory melakukan kesemua penyeksaan dan pembunuhan seperti didakwa, atau adakah dia cuma kambing hitam skandal politik pihak kerajaan Hungary pada masa itu? Adakah Bathory pengamal sihir yang digeruni melalui perlaksanaan ritual berunsur sadistik dan kejam, atau wanita yang bernasib malang kerana dilahirkan memiliki pengaruh, kepintaran dan kekayaan yang membuatkan golongan lelaki berasa terancam di zaman itu? Selagi tiada maklumat sahih untuk membuktikan dia tidak bersalah, selagi itulah Countess Elizabeth Bathory akan dikenali dalam sejarah sebagai pembunuh bersiri paling kejam dan perempuan paling jahat dalam dunia. [A.RAFILAH:
Dituduh Perempuan Paling Jahat Dalam Dunia; 25.11.2017]
Sumber rujukan untuk entri blog ini:
- BBC, 'Elizabeth Bathory: The Blood Countess'(2.8.2001)
- Keisz Augustine, 'Báthory Erzsébet: tömeggyilkos vagy ártatlan áldozat?'(30.12.2013)
- Bathory: Countess of Blood (2008) - filem arahan Juraj Jakubisko
- 'Ungaria suis cum regibus compendia data', Typis Academicis Soc. Jesu per Fridericum Gall, m/s 188-193 (8.9.1729)